Keistimewaan Minyak Zaitun Menurut Quran & Sains

Keistimewaan pohon Zaitun, buah Zaitun & Minyak Zaitun telah dinyatakan oleh Allah dalam Al Quran melalui Surah At-Tin (95), ayat 1.

“Demi buah Tiin dan Zaitun”

[QS 95 : 1]

Ulama’ mentafsirkan, bila mana Allah bersumpah dengan kalimat ‘Demi..’, maka bermakna makhluk tersebut antara makhluk ciptaan-Nya yang memiliki kehebatan yang luar biasa. Sama seperti dalam Surah Ash Shams (91), Allah bersumpah; “Demi matahari..”, “Demi bulan..”, “Demi siang..”, “Demi malam..”, “Demi langit..”, “Demi bumi..”, dan seterusnya.

Untuk pohon Zaitun, Allah menyatakan kehebatan Zaitun ini juga dalam beberapa surah lain, antaranya Surah An-Nur (24) ayat 35;

Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah ‘misykaat’ yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pohon yang diberkati, pohon Zaitun yang tumbuh tidak di timur dan tidak pula di barat; hampir-hampir minyaknya itu – dengan sendirinya – memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api..

[QS 24 : 35]

Dalam surah Al-Mukminun pula, Allah nyatakan lagi tentang Minyak Zaitun dan buahnya sebagai makanan.. Surah Al-Mukminun (23), ayat 20;

Dan (Kami juga menumbuhkan untuk kamu) pohon (Zaitun) yang asal tumbuhnya di kawasan Gunung Tursina, yang mengeluarkan minyak dan lauk bagi orang-orang yang makan.

[QS 23 : 20]
Buah Zaitun
Pohon & Buah Zaitun

Asal Pohon Zaitun

Buah zaitun dan Minyak Zaitun (Olive Oil), nama saintifiknya; Olea europaea, spesisnya dari keluarga; Oleaceae, asal usulnya; Basin Mediterranean. Pohonnya kebiasaannya berketinggian kira-kira 3 meter dan memiliki bentuk pohon yang rimbun. Hidup subur di sekitar Mediteranean seperti di Bumi Shams, iaitu Palestine, Jordan & Syria.. iaitu bumi para Anbia’.

Daun-daun pokok Zaitun berbentuk bujur panjang, buahnya berwarna hijau dan ungu gelap bila sudah masak ranum. Bentuk buahnya seperti buah anggur atau besar sedikit dari buah anggur.

Artikel berkaitan: Kebaikan Pati Minyak Aromaterapi

Sejarah Pohon Zaitun di Zaman Dahulu

Kebaikan Minyak Zaitun telah diketahui sejak ribuan tahun dahulu bahkan telah digunakan dalam sejarah perubatan Mesir purba lagi. Begitu juga di bahagian utara Mediteranean, iaitu di Eropah, telah diketahui akan kelebihan pohon Zaitun ini seoleh-oleh telah menjadi ‘pohon kayangan’, merujuk kepada gambar-gambar serta patung raja serta dewa mereka.

Athena & the Olive Tree

Seperti ‘cover buku’ ini menunjukkan Athena (1 spesis dari 12 dewa Greek kuno) dengan pohon Zaitun. Athena (goddess / dewa perempuan) ini dikaitkan dengan pohon Zaitun dan di bawah ini dianggap sebagai simbolnya.

Athena symbol

Begitu juga dengan sejarah Rom, raja-raja mereka yang dipanggil Kaizer (Ceasar) dulu sering dilihat gambar-gambarnya memakai kalung di kepala yang dipanggil ‘laurel crown’, yang dipercayai dibuat dari ranting daun-daun Zaitun sebagai perhiasan kepala mereka.

Ini menunjukkan betapa pohon Zaitun amat disanjung tinggi sejak zaman dahulu lagi sehingga kini, kajian sains membuktikan khasiat dan kebaikan Minyak Zaitun. Maka benarlah firman Allah seperti yang telah dinyatakan di awal tadi.

Begitu juga dengan sejarah Rom, raja-raja mereka yang dipanggil Kaizer (Ceasar) dulu sering dilihat gambar-gambarnya memakai kalung di kepala yang dipanggil ‘laurel crown’, yang dipercayai dibuat dari ranting daun-daun Zaitun sebagai perhiasan kepala Caesar.

Keistimewaan Minyak Zaitun

Kebaikan Minyak Zaitun

Dalam buku ‘Sains dalam Al-Quran’ karangan Dr. Nadiah Thayyarah menulis Rasululllah SAW pernah bersabda:

“Makanlah buah zaitun dan gunakanlah ia sebagai minyak, karena ia tumbuh dari pohon yang diberkati”.

[HR. Ahmad & Tirmidzi]

Banyak lagi hadis-hadis berkaitan kebaikan Minyak Zaitun bahkan Nabi SAW juga menjadikan Minyak Zaitun antara amalan seharian baginda seperti menjadikannya sebagai minyak rambut selain memakannya.

Antara kajian yang pernah dilakukan mendapati, Minyak Zaitun megandungi Plorite ‘Triolein Tripalmitin’, terdapat juga bahan seperti ‘Atachidic esters’ dan sedikit mengandung ‘free oleic acid’. Minyak Zaitun juga mengandung air dan kandungan mineral yang cukup banyak. Antaranya termasuklah Kalsium, Zat Besi, Vitamin E, K dan beberapa vitamin lainnya.

Antioksidan (Mencegah Kanser)

Banyak kajian telah membuktikan manfaat kesihatan dari Minyak Zaitun. Khususnya Minyak Zaitun extra virgin (perahan pertama tanpa sebarang campuran bahan² asing), yang merupakan minyak berkualiti terbaik, kaya dengan antioksidan, yang dapat membantu mencegah kerosakan sel tubuh yang disebabkan oleh molekul yang disebut sebagai radikal bebas, penyebab sel kanser.

Radikal bebas adalah bahan yang dihasilkan oleh tubuh semasa proses metabolisme dan proses² lain. Antioksidan dapat meneutralkan radikal bebas ini sekaligus mengelak dari risiko terkena kanser.

Baik Untuk Jantung

Menurut kajian 2018, Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Amerika dan Penguasa Keselamatan Makanan Eropah, mengesyorkan mengambil sekitar 20 gram atau dua sudu besar Minyak Zaitun extra virgin setiap hari dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung (cardiovascular) dan keradangan (inflamatory).

Hasil kajian 2017 menunjukkan bahawa polifenol dalam Minyak Zaitun extra virgin dapat memberikan perlindungan dari penyakit kardiovaskular, aterosklerosis, strok, disfungsi otak, dan kanser. Polifenol adalah sejenis antioksidan.

Meningkatkan Metabolisma

Sindrom metabolik adalah suatu keadaan disebabkan oleh sekumpulan faktor yang meningkatkan risiko penyakit, termasuklah obesiti, tekanan darah tinggi dan kadar gula dalam darah yang tinggi. Masalah penyakit darah tinggi dan kencing manis sangat digalakkan mengamalkan pengambilan Minyak Zaitun sebagai dite pemakanan seharian.

Kajian juga mendapati bahawa Minyak Zaitun dalam diet pemakanan dapat memperbaiki masalah sindrom metabolik ini, seperti keradangan (inflammation), menstabilkan gula dalam darah, trigliserida (lemak dalam darah) dan Lipoprotein Berkepadatan Rendah (Low density lipoprotein LDL) atau ‘kolesterol jahat’. Sebaliknya, ia meningkatkan kadar Lipoprotein Berkepadatan Tinggi (High Density Lipoprotein – HDL) atau ‘Kolesterol baik’.

Dengan kata lain, amalan penggunaan Minyak Zaitun dalam diet pemakanan seharian bukan sekadar membantu menjaga kesihatan dalaman, bahkan sesuai bagi mereka yang ingin menjaga berat badan.

Minyak Zaitun Baik Untuk Kulit

Minyak Zaitun Baik Untuk Kulit

Melembapkan kulit
Minyak ini kaya dengan vitamin E dan antioksidan yang dapat melindungi kulit dari pencemaran luaran sepaerti sinaran matahari, angin atau udara yang tidak bersih. Tekstur Minyak Zaitun yang ringan menjadikannya pelembap sempurna yang tidak melekit, tahan lama dan sesuai dengan semua jenis kulit.

Memperbaiki kesihatan kulit
Kandungan vitamin E dalam Minyak Zaitun dapat merawat keradangan (inflammatory), jerawat dan melindungi kulit dari penyakit yang serius seperti psoriasis dan kanser kulit.

Menanggalkan mekap
Minyak zaitun dara adalah alternatif pembuang mekap yang mudah dan murah berbanding daripada jenama lain yang berada di pasaran. Ia bertindak dengan baik tanpa merosakkan kulit anda.

Antipenuaan (Antiageing)
Apabila umur kita meningkat, kulit akan mula mengendur dan membentuk kedutan. Tanda-tanda penuaan ini boleh dikurangkan dengan amalan penggunaan Minyak Zaitun.

Skrub bibir
Minyak Zaitun juga boleh membuatkan bibir nampak lembut dan cantik dengan mencampurkan beberapa titis Minyak Zaitun bersama gula perang yang telah dihancurkan dan sedikit jus lemon. Kemudian sapukan campuran ini pada bibir.

Mengatasi tumit merekah
Gosok tumit dengan menggunakan air lemon yang panas dan sapukan Minyak Zaitun pada tumit untuk menambahkan kelembapan dan melembutkannya. Anda boleh memakai stokin untuk kelegaan yang lebih cepat.

Minyak Zaitun Baik Untuk Rambut

Seperti yang telah dinyatakan di atas pada topik Kebaikan Minyak Zaitun, perenggan 2, Nabi SAW menggunakan Minyak Zaitun sebagai pelembap (minyak) rambut. Kebaikannya telah menjadikan Minyak Zaitun antara bahan utama dalam industri pembuatan minyak rambut.

Sebagai tambahan, untuk home made minyak rambut, boleh cuba Minyak zaitun bersama dengan kombinasi bahan lain, seperti madu dan kuning telur, ramuan ini cukup baik untuk mengekalkan kesihatan rambut.

Minyak Zaitun kaya dengan vitamin E yang membantu mengatasi masalah rambut gugur, serta mengatasi masalah kelemumur dan menjada kesihatan kulit kepala. Madu boleh memberikan kelembapan terhadap rambut, ia juga mengandungi nutrien yang lain seperti magnesium, zink, sulfur, kalsium dan vitamin B yang membantu pertumbuhan rambut. Kuning telur kaya dengan protein, nutrien yang membentuk elemen pada rambut.

Selain itu ia juga oleh digunakan sebagai terapi sebelum mensyampu. Mengurut rambut dan kulit kepala dengan Minyak Zaitun sebelum syampu membantu memberikan kilauan dan kekuatan kepada rambut serta kesihatan kulit kepala.

Kesimpulan Penggunaan Minyak Zaitun

Terlalu banyak perihal Minyak Zaitun untuk dibicarakan, bahkan kajian terus menerus dijalankan untuk mencari rahsia² yang masih belum dibongkarkan lagi.

Yang pasti, apabila Al Quran telah pastikan, pohon, buah dan Minyak Zaitun itu telah ‘diberkati’ oleh Allah, maka sebagai Muslim, tidak ada keraguan padanya. Gunalah Minyak Zaitun untuk amalan pemakanan dan kegunaan luaran.

Dan sebagai Muslim juga, apa yang paling penting, setiap kali kita ingin menggunakan Minyak Zaitun, maka berniatlah memakainya kerana Allah (ingat semula firman Allah di atas) dan sebagai menuruti Sunnah Nabi SAW.. semoga kita mendapat manfaatnya di dunia (kesihatan tubuh) dan di Akhirat (pahala atas niat). InsyaAllah.

Kredit:
Pohon & Buah Zaiton
Athena and the Olive Tree

20 Khasiat Minyak Zaitun
What are The Health Benefits of Olieve Oil

0 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *