Apakah itu Aromaterapi?

Kaitan Antara Aroma & Terapi

Istilah Aromaterapi (Aromatherapi) berasal dari dua perkataan, iaitu aroma & terapi. Aroma bermaksud haruman atau wangian dan Terapi bermaksud kaedah rawatan ke atas sesuatu jenis masalah kesihatan. Terapi selalunya adalah istilah yang digunakan bagi kaedah rawatan luaran sama ada terapi secara langsung atau terapi tidak langsung. Jadi pada dasarnya, istilah Aromaterapi berkaitan dengan kaedah bagi mengatasi suatu permasalahan kesihatan diri dengan penggunaan aroma dari sumber alam.

Jenis Terapi

  • Terapi secara langsung – rawatan terus pada bahagian tubuh yang sakit, seperti rawatan fisioterapi (physiotherapy), urutan dan seumpamanya.
  • Terapi tidak langsung – seperti santapan pancaindera, pandangan, pendengaran, hidu, sentuhan & rasa pada suasana alam sekitar yang menyegar dan mendamaikan. Mendengar alunan zikir juga merupakan terapi minda serta santapan rohani secara tak langsung.

Perbezaan Terapi & Rawatan

Seperti yang telah dinyatakan di atas, Terapi adalah kaedah rawatan atau membaik pulih kesihatan tubuh secara luaran. Sementara rawatan pula adalah proses memperbaiki kerosakan yang telah terjejas pada tubuh. Rawatan boleh jadi secara luaran atau dalaman, iaitu memakan ubatan serta melakukan pembedahan ke atas bahagian yang sakit.

Terapi selalunya tidak memberikan kemudaratan atau kesan sampingan (side effect) yang lain berbanding kaedah rawatan menggunakan ubatan (drugs). Namun begitu setiap penyakit perlulah dirujuk dengan pakar perubatan iaitu doktor yang ahli dalam bidangnya serta kaedah rawatan yang dianjurkan.

Terapi

  • Kaedah rawatan luaran
  • Tak perlu makan ubat
  • Tak membabitkan suntikan atau pembedahan
  • Tiada risiko kesan sampingan (side effect)
  • Boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja (yang tahu caranya), termasuk diri sendiri

Rawatan

  • Proses membaik pulih secara menyeluruh pada tubuh
  • Luaran & dalaman
  • Suntikan atau pembedahan sekiranya perlu
  • Risiko kesan sampingan (side effect)
  • Dilakukan oleh doktor bertauliah sahaja

Gabungan Aroma & Terapi

Aromaterapi adalah pati minyak (essential oil) berasaskan tumbuhan aromatik terpilih yang dihasilkan bagi tujuan meningkatkan keadaan psikologi dan kesihatan seseorang. Ia digunakan sebagai suatu terapi alternatif selain daripada rawatan konvensional.

Sebagai contoh, anda ingin mengatasi masalah kesihatan dalaman, seperti kegelisahan hingga sukar tidur, anda boleh berikhtiar dengan penggunaan Aromaterapi. Masalah kesihatan seperti ini mungkin berisiko dengan kaedah rawatan konvensional yang menggunakan ubat-ubatan.

Kaedah Aromaterapi menggunakan ekstrak pati minyak dari tumbuhan terpilih yang memiliki sifat aromatik dan kesembuhan (healing properties)

Aromaterapi Essential Oil
Pati Minyak Aromaterapi Bunga Matahari
(Sun Flower Aromatherapy Essential Oil)

Sejarah Aromaterapi

Adalah dipercayai Aromaterapi telah mula digunakan sejak berabad-abad lamanya. Penggunaannya telah dikenalpasti sejak zaman Mesir kuno (2000 tahun SM), China (Dinasti Chang di zaman Gangsa), Parsi, Babylon serta bangsa Yunani (Greek) ribuan tahun dahulu sebagai rawatan oleh tabib perubatan, bahan pewangi, digunakan juga dalam proses makanan serta mengawet mayat.

Pada zaman tersebut bahan-bahan untuk penghasilan Aromaterapi yang terdiri dari tumbuh-tumbuhan serta rempah ratus terpilih mempunyai nilai yang sangat tinggi. Dikatakan nilainya setanding emas dan permata kerana kesukaran untuk mendapatkannya serta keperluan kepada ilmu pengetahuan untuk mendapatkan hasilnya. Bahkan ia selalunya digunakan oleh raja-raja mereka serta golongan bangsawan sahaja.

Antara peranan utama bahan Aromaterapi digunakan pada zaman dahulu adalah bagi proses penyembuhan luka, di mana beberapa tumbuhan yang memiliki sifat anti bakteria, anti virus dan anti inflamasi (anti radang) pada kulit. Kerana ketika itu semuanya berasaskan tumbuhan, sebelum bermulanya era pemodenan dalam bidang perubatan.

Perubatan dalam sejarah Islam
Ilaj an-Nafs (Rawatan jiwa) atau ‘Tib al-Qalb’ (Penawar bagi Hati atau Penyembuhan Jiwa)

Dalam sejarah Islam juga, suatu kitab terkenal dan telah diterjemah ke bahasa Parsi, Latin, Cina, Ibrani, Jerman, Perancis dan Inggeris, iaitu Kitab Kanun Perubatan, karangan Ibnu Sina. Kitab ini dikenali juga sebagai ‘ensiklopedia perubatan’ kerana merupakan penulisan terlengkap bidang perubatan dan masa yang cukup lama untuk dihasilkan oleh beliau.

Kitab Kanun Perubatan ini selesai dihasilkan pada zaman pertengahan Islam iaitu 1025 Masihi (416 Hijrah). Keilmuan karangan Ibnu Sina yang menyeluruh dan lengkap menjadikannya rujukan hingga kini. Kitab ini terbahagi kepada 5 buku utama, yang mana termasuklah bab penggunaan Aromaterapi:

  • Prinsip Am Amalan Perubatan
  • Rawatan Ringkas
  • Penyakit Setempat
  • Penyakit Am
  • Pengubatan Campuran (Formular)

Setelah dunia perubatan memasuki zaman moden dengan penghasilan peralatan pembedahan lebih canggih serta ubat-ubatan dari sumber sintetik (drugs) sekitar tahun 1800an, sedikit sebanyak meninggalkan perubatan bersumberkan tumbuhan.

Namun sejak akhir-akhir ini manusia kembali cenderung untuk memilih kepada kaedah Aromaterapi yang diyakini lebih selamat dan hampir tiada kesan sampingan berbanding ubatan sintetik (drugs).

Bahkan telah banyak kajian serta aplikasi Aromaterapi yang lebih meluas, bukan sahaja khusus dalam bidang perubatan, tetapi dalam seluruh kehidupan manusia. Dari penggunaan bahan penjagaan & kebersihan diri hinggalah keperluan dalam setiap rumah serta kenderaan terdapat elemen Aromaterapi.

Kaedah Penggunaan Aromaterapi

Aromaterapi paling banyak digunakan sebagai minyak wangi kerana ia memberikan haruman secara langsung kepada sipemakai dan orang sekelilingnya. Namun begitu Aromaterapi lebih dari sekadar haruman semata-mata, ia dihasilkan khusus untuk tujuan terapi diri dari pelbagai permasalahan tubuh luaran dan dalaman.

Perawatan dengan kaedah Aromaterapi kebiasaannya adalah dengan cara menghidu aromanya melalui hidung atau menyapu pati minyaknya pada kulit. Pati minyaknya juga biasa digunakan pada tubuh luaran sebagai terapi mengurut atau selepas mandi. Secara umumnya ia sesuai untuk hampir semua peringkat usia, dari kanak-kanak hingga dewasa bergantung kepada jenis dan ramuan yang digunakan.

Sila lihat artikel seterusnya berkaitan Kebaikan Pati Minyak Aromaterapi. Kami cuba huraikan dengan lebih terperinci mengenainya beserta manfaat Aromaterapi.

0 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *